Amerika bersikap prejudis kerana cuba campur tangan dalam urusan negara ini: PM

July 2, 2008 at 3:15 am (Uncategorized)

Amerika bersikap prejudis kerana cuba campur tangan dalam urusan negara ini: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam membidas Washington kerana cuba campur tangan dalam urusan negara ini dengan membuat kenyataan berunsur amaran berhubung dakwaan terbaru kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, tindakan Washington yang mahu menentang sebarang siasatan atau pendakwaan terhadap Anwar atas alasan kononnya tuduhan itu bermotif politik, adalah prejudis terhadap sistem perundangan negara ini.

“Negara itu bersikap prejudis terhadap undang-undang negara ini dan cuba campur tangan dalam hal negara kita. Kita ada kerajaan, undang-undang dan penguatkuasaan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan siasatan dijalankan dengan baik, adil dan tidak menzalimi mana-mana pihak.

“Itu adalah amalan kita selama ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Parlimen selepas menerima kunjungan Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Abdullah berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menghantar nota bantahan berhubung kenyataan Washington itu.

Semalam, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey, dipetik agensi berita AFP sebagai berkata, Washington akan menentang sebarang siasatan atau pendakwaan yang didorong oleh politik, terhadap Anwar.

“Hujah utama kami ialah undang-undang perlu ditegakkan mengatasi politik. Sudah tentu kita menentang sebarang penggunaan undang-undang atau prosedur kehakiman untuk tujuan lain selain tujuan sebenar undang-undang,” katanya di Washington.

Sambil menjelaskan pihaknya memang mengetahui bahawa Anwar pernah menghadapi tuduhan yang sama sebelum ini tetapi sabitan terhadapnya diketepikan, Casey berkata: “Kita berharap tidak ada corak serupa di sini.

“Bagaimanapun, sudah tentu kita akan ambil berat bahawa apa saja yang dilakukan dan patut dilakukan dengan cara teratur dan ada penyiasatan yang sah ke atas dakwaan yang mungkin wujud mengikut undang-undang Malaysia dan bukannya siasatan atau pendakwaan yang didorong politik.”

Sabtu lalu, seorang pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat aduan polis mendakwa diliwat Penasihat PKR itu di sebuah kondominium di Bukit Damansara dekat sini pada 26 Jun lalu.

Anwar bagaimanapun menafikan laporan itu dan mendakwa ia adalah rekaan semata-mata serta menyifatkannya sebagai percubaan terdesak kerajaan untuk menyekat karier politiknya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Washington perlu memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat mengenai fakta isu itu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai masyarakat India di Bangunan Parlimen, beliau berkata, siasatan polis terhadap Anwar sama sekali tidak bermotifkan politik.

#Mr. Cantik risau bila Amerika nak masuk Malysia punya hal, bersama menjaga agama, bangsa dan negara

Advertisements

Permalink 2 Comments