Karya Hebat, bacalah…

May 27, 2008 at 11:16 am (Uncategorized)

‘Domam’

Beberapa tahun lepas saya menulis sebuah cerpen secara ‘main-main’ dengan turut menyentuh soal Pulau Batu Puteh, mulai sekarang dipanggil Pedra Branca. Sempena ‘meraikan’ keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura saya siarkan semula cerpen tersebut di sini. Menurut Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim keputusan ini menang-menang. Menurut saya: “Eh ekau domam ko apo?”

SONATA MUSIM TENGKUJUH
OLEH FAISAL TEHRANI

INI babad Cik Siti Mustika lagi. Pernah pacal riwayatkan tidak berapa lama dahulu kisah bagaimana seorang gadis mustika dari pedalaman tatkala kemuncaknya zaman kesultanan Melaka gigih memperjuangkan bahasa Melayu menerusi lagu-lagu irama Melayu yang segar hingga menakluk hati Sultan dan Permaisuri dan menjadi tersohor seisi Asia lantaran suaranya yang memukau dan boleh menyebabkan hari hujan menjadi teduh, hari mendung menjadi cerah jika kedengaran dek alam suara Cik Siti Mustika menyanyi beberapa bait sahaja dari irama dondang sayang.

Sesudah beberapa tahun terus-terusan menyanyi berolehlah Cik Siti Mustika kemewahan melimpah ruah tidak terkata dan kemasyhuran yang tiada tolok bandingnya.

Pemerintahan Sultan Mansur pun menempah kegemilangan luar biasa lagi mempesona sehingga bangsa Melayu Melaka itu menjadi semacam diwangsa di seluruh jagat semesta.
Kehebatan Melaka dan Cik Siti Mustika tidak dapat diputuskan. Buat beberapa lama Melaka bangga memiliki Cik Siti Mustika, Cik Siti Mustika pula bangga berasal-usul dari Melaka.

Pada ketika itu timbullah satu gerakan baru di kalangan segelintir penentang Sultan yang melihat adanya Cik Siti Mustika bermakna kekalnya kegemilangan Melaka.

Penentang-penentang Sultan ini telah bersepakat dengan sebuah kerajaan kecil yang agak jauh dari Melaka dan tidak dapat dikawal dengan baik oleh Laksamana Tuah kerana sibuknya dia menggoda Tun Tijah dan bergomol dengan macam betina lain. Argh tuan-tuan bukan tidak tahu perangai Tuah itu bagaimana, tak perlu pacal memanjang-manjangkan perkara! Adapun kerajaan kecil tersebut tidak lain tidak bukan ialah kerajaan Temasik.

Penentang Sultan berfikir jika Cik Siti Mustika merosot keupayaan menyanyi dengan penuh gemersik itu tentu sahaja Kesultanan Melaka hilang salah satu keajaibannya. Maka penentang-penentang ini pun menganjurkan berbagai-bagai pertandingan nyanyian dengan alasan, ‘Alangkah aibnya Melaka bergantung cuma pada satu suara sedang bakat kita masih banyak tak tercungkil.’

Maka bekerjalah penentang-penentang Sultan ini mencari penyanyi baru yang dapat menandingi kemerduan suara Cik Siti Mustika. Dalam masa yang sama Temasik membuat onar dengan menghantar beberapa gerombolan soldadu menduduki sebuah pulau kecil di tengah laut yang penuh dengan batu-bata sahaja. Raja Temasik menghebah kepada semua, bahawa inilah pulau sekangkang badak yang menjadi hak mereka, maka jangan ada mana-mana kesultanan pun mengaku ia adalah miliknya.

Adapun pulau yang dinamakan Putih Puteh itu berbatu-batu, kecil sahaja, malah tidak munasabah langsung jika ada dua kerajaan merebut pulau yang tidak sebesar mana itu. Akan tetapi hakikat bahawa ia tidak jauh dari perairan Mersing yang tunduk di bawah kekuasaan Melaka, menjadi bukti ia adalah sebuah pulau milik kesultanan Melaka.

Di Melaka penentang-penentang Sultan telah mencungkil dua orang penyanyi baru yang dijangka dapat menumpaskan kehebatan Cik Siti Mustika. Muslihatnya mudah, penyanyi ini akan menyingkirkan Cik Siti Mustika dari segi kehebatan menyanyi dan kala ini berlaku peminat Cik Siti Mustika akan berkurangan. Penentang Sultan akan mengisyhtiharkan pengaruh Sultan sudah terhakis kerana Sultan Mansur pernah mendakwa, ‘Adapun pengaruh beta adalah pengaruh Siti Mustika.’

Kempen jahat menewaskan Cik Siti Mustika itu dinamakan ‘Ada Apa Dengan Cik Siti’. Isi kempen itu ialah Cik Siti merupakan lambang feudalisme. Pendewian berlebihan terhadap Cik Siti Mustika adalah menjelekkan dan baginda Sultan telah kabur matanya oleh Cik Siti Mustika yang sebetul-betulnya seorang ahli sihir, seorang bomoh yang telah menyembelih beratus-ratus ekor angsa tanpa kepala di atas bumbung istana dan menggulung kain kuning dan menyelit di celah baju dalam untuk membodoh-bodohkan Sultan sehingga baginda sanggup berhabis berapa pun wang yang ada demi memuaskan hati Cik Siti Mustika.

Kempen terhadap Cik Siti Mustika itu didalangi oleh beberapa orang Jawa yang mencanangkan betapa Cik Siti sedang menggunakan bakat yang ada untuk mengaut keuntungan. Menyanyi cincai jangan tidak dan mengenepikan mutu untuk mensihir pandangan mata dan hati masyarakat. Apatah pula, majikan Cik Siti itu orangnya Tionghua dari Yunan yang bukan fikir sangat tanggungjawab nusa bangsa tetapi lebih kepada mahu memerah tenaga dan suara Cik Siti Mustika supaya dapat menghimpun lebih banyak wang, wang, wang dan wang…

Bakat baru yang dikatakan dapat menumpaskan Cik Siti itu dari mongmongan orang, seorang daripadanya berasal dari Gua Musang. Ada pun tatkala ditanyakan orang apakah Nik Mesah Nik Omar ini dibesarkan di Gua Musang, maka menjawablah Nik Mesah, ‘Ya saya dari Gua Musang.’ ‘Adakah Nik Mesah didewasakan di Gua Musang’, maka Nik Mesah menjawab, ‘Ya, saya dibesarkan di Gua Musang. Pendek kata saya tak pernah datang ke kota Melaka sebelum ini. Inilah pertama kali saya diundang menyanyi di luar Gua Musang.’ Kemudian apabila ditanya lagi apakah Nik Mesah boleh bercakap dalam loghat Kelantan dan memakan budu bila berbuka puasa, Nik Mesah telah menjawab, ‘Ambo tak reti cakap Kelantan. Sikit-sikit sangat saja. Ambo benci makan budu.’

Kerana keceluparan mulutnya yang buat-buat hebat dan konon-konon berwibawa, orang Melaka naik meluat pula meskipun suara Nik Mesah itu boleh dikatakan hebat juga. Ini kerana orang Melaka meskipun terdedah dengan bermacam jenis bangsa manusia di dunia dan sudah mendengar berbagai-bagai irama lagu, tetap orang Melaka itu suka memakan cencaluk, memakan inang dan menyudu tahi minyak sebagai makan minumnya. Maka jika ada sesiapa yang cuba-cubaan menjadi gadis kota, amat segera menimbulkan rasa meluat di hati mereka.

Seorang lagi bakat, malas pacal menjela-jelakannya. Cukuplah pacal katakan dia seorang gadis orang asli dari kaki Bukit Tampin yang kurang mancung hidung bernama Dang Bedah. Dang Bedah ini menurut kata orang pernah belajar menyanyi di Afrika, kerana itu ia boleh menyanyi seperti orang Negro tetapi penampilan Dang Bedah dengan rambut celup inai, bertopi bulat leper dan menyanyi meneran dengan sedikit sengau menyebabkan orang Melaka bertambah meluat.

Kempen menjatuhkan Cik Siti itu nampaknya tidak berhasil. Adapun Sultan telah begitu murka kerana Raja Temasik menempatkan askar laut di pulau Putih Puteh. Raja Temasik pula gemar amat mengeluarkan kata-kata yang menghiris kalbu Sultan Mansur. Setelah beberapa kali gagal berunding, bersetujulah Raja Temasik untuk memutuskan hak pentadbiran itu menerusi satu pertandingan nyanyian.

Betawi sudah bersetuju menjadi tuan rumah untuk pertandingan yang bermotif politik tersebut. Temasik akan diwakili oleh seorang penyanyi jelita yang menurut cerita seorang bomoh yang pintar. Penyanyi yang juga bomoh ini namanya Asiah. Tidak banyak yang dapat diketahui tentang Asiah. Dia ini seorang perempuan Melayu yang bertindik di pusat dan putingnya, itu sahaja maklumat yang ada. Oleh kerana dia berasal dari Temasik, maka orang Melaka tahu dalam diam, Asiah ini tentu sekali minum air jamban meskipun tidak makan babi.

Apabila tiba hari, Cik Siti Mustika pun menyanyilah sebuah lagu untuk menunjukkan kehebatannya. Adapun judul lagu itu sedikit aneh dan dicipta oleh seorang saudagar Korea bermata sepet dengan iras-iras Won Bin dan diberikan kepada Cik Siti Mustika ketika ratu seni suara itu berkunjung ke Korea. Menurut sumber yang dipercayai, saudagar seiras Won Bin itu jatuh cinta dengan Cik Siti Mustika langsung mencipta sebuah lagu berjudul Sonata Musim Tengkujuh. Kala Cik Siti Mustika menyanyikan lagu tersebut banyaklah orang melalak mengungu-ngugu mendengar lagu yang sedih pilu.

Asiah yang dikatakan orang, bukan sihir biasa itu menyanyi sebuah lagu berentak rancak sambil mengibas-ngibas ekor kain berwarna kuning nenas dan menghentak-hentak tongkat seperti lagaknya tukang sihir Firaun sahaja. Lagu yang dinyanyikan Asiah itu bagaimanapun tidak ada judul.

Juri bagaimanapun tidak mengalami kesukaran untuk memutuskan penyanyi manakah yang baik. Mereka telah memilih Asiah dari Temasik.

Maka terkejutlah seisi Nusantara kerana jelaslah juru-juri nyanyian itu teramat keliru dengan sistem mata. Kekeliruan itu dikatakan berpunca dari sihir Asiah dan sisa tangis mereka yang mengaburkan mata lantaran pilu dan sebak teramat mendengar lagu Sonata Musim Tengkujuh. Juri-juri sendiri semua mengaku mereka tidak mengundi Asiah dan merasa hairan mengapa Asiah pula yang menang kerana jelaslah suara Asiah itu ringkas dan lagu rancak yang dinyanyikan biasa-biasa sahaja. Raja Betawi yang juga tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut telah memaksa juri-juri ini membuat penilaian semula.

Tetapi Raja Temasik mengelak dan mendakwa keputusan adalah muktamad. Putih Puteh akan menjadi hak Temasik. Sultan Mansur Syah yang sangat marah dengan kekeliruan ini telah mendesak kes tuntutan Putih Puteh di bawa ke pengadilan antarabangsa yang sehingga hari ini masih tidak dapat memutuskan siapakah berhak ke atas pulau sekangkang badak yang hanya penuh batu-bata sahaja. Sesungguhnya rakyat Melaka keliru kerana Pulau Temasik itu sendiri hak Melaka, maka kenapa pula Putih Puteh bukan menjadi haknya?

Inilah babad yang pacal ingin kisahkan. Ia tidak ada kaitan dengan sesiapa melainkan dongeng suka-suka.

#karya faisal tehrani, bernas dan panas, ringkas dan keras, bacalah sendiri di tehranifaisal.blogspot.com
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: